Pages

Thursday, April 21, 2011

HARGAI SOKONGAN PENGUNDI BUMIPUTERA

Keputusan pilihanraya DUN Sarawak jelas menunjukkan berlaku suatu trend yang kontra antara pengundi kaum bumiputera dan kaum Cina. Majoriti kaum bumiputera di Sarawak telah memilih parti BN manakala kaum Cina memihak kepada parti pembangkang terutama DAP. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar demokrasi, sewajarnya semua pihak menerima dan menghormati segala pilihan yang telah dibuat oleh rakyat. Apa yang penting wakil rakyat yang telah menang 'wajib' bekerja secara ikhlas dalam membangunkan dan memperjuangkan nasib rakyat di kawasan masing-masing. Sebenarnya tidak mustahil pola penolakan kaum Cina terhadap BN akan berjangkit di Semenanjung pada PRU ke-13 nanti. Inilah yang hangat diperkatakan oleh penganalisis politik tempatan. Inilah juga faktor yang boleh menggusarkan pucuk pimpinan BN samada untuk mempercepatkan atau melambatkan PRU dengan mengambil kira faktor berkenaan. Kita tinggalkan isu berkenaan seketika. Ramai di antara kita lupa tentang bagaimana rakyat di kawasan luar bandar, pedalaman dan majoriti kaum Melayu dan bumiputera telah memberi sokongan kepada BN daripada dulu hingga sekarang. Pernah tak pimpinan BN atau wakil rakyat yang menang mempunyai niat atau kesungguhan menghargai sokongan tersebut dengan memaju dan membangunkan kawasan tersebut. Sedia maklum bahawa kebanyakan kawasan tersebut jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan kawasan bandar yang majoritinya penduduk Cina yang telah memihak kepada parti pembangkang. Adakah BN lebih berminat untuk terus dan terus memujuk kaum Cina supaya kembali kepada BN. Adakah pelbagai pembangunan atau projek, bantuan dan sumbangan akan terus di beri kepada penduduk kawasan yang telah memihak kepada parti pembangkang. Alhasilnya kawasan yang dimenangi oleh pembangkan lebih terkehadapan dan maju, manakala kawasan pedalaman yang telah memilih BN zaman berzaman terus ketinggalan dari segi arus pemodenan dan kemajuan. Janganlah rakyat di kampung hanya di jadikan sebagai batu loncatan untuk pemimpin BN naik dalam kepimpinan sehingga ada yang berjawatan menteri atau timbalan menteri dan hanya menjenguk rakyat ketika perlu sahaja. Hargailah sokongan mereka, bukalah mata dan fahamilah hasrat mereka. Sebenarnya apabila kita lihat contoh di Sarawak, kebanyakan kawasan di luar bandar dan pedalaman memilih BN kerana rakyat di kawasan tersebut telah menyerahkan nasib mereka kepada BN untuk membantu mereka. Bantulah meraka dan usahlah ada niat sedikitpun untuk mengula-gulakan rakyat dengan menganggap mereka ini kurang cerdik dalam politik. Tidak mustahil wakil rakyat yang gagal menjalankan tugas dengan baiik akan ditendang oleh rakyat pada pilihanraya akan datang. Daripada trend keputusan pilihanraya DUN Sarawak, saya berpendapat BN tidak perlu lagi terikat dengan kuota bagi sesebuah kawasan dalam PRU ke-13 nanti. Letakkan sahaja calon daripada parti yang boleh memenangi kawasan tersebut. Apa gunanya mengikut kuota tetapi calon parti tertentu tewas. Contohnya di kawasan yang sebelum ini di peruntukkan kepada MCA ataupun parti gerakan, jika penduduk bumiputera melebihi 60% boleh dipertimbangkan calon kepada UMNO. Adakah ganjil jika UMNO berentap dengan DAP. Saya percaya tidak kira apa kaum sekalipun, mereka akan menyokong calon yang jujur, amanah, cekap dalam bekerja sebagai wakil rakyat. Semua rakyat dibantu tanpa mengambil kira kaum mana. Adakah kaum Cina akan menolak calon yang mempunyai ciri-ciri sedemikian walaupun dia bukan berbangsa Cina. Mengenai peluang BN untuk merampas Pulau Pinang daripada tangan DAP, ada yang berpendapat sukar bagi BN. Ada kewajarannya juga jika dilihat trend keputusan pilihanraya DUN Sarawak. Sebab itu BN perlu berani khususnya UMNO untuk menyuarakan atau mencuba strategi yang baru. Adakah BN masih terikat dengan perjanjian jika BN menang, Ketua Menteri disandang oleh parti gerakan. Adakah salah mengishtiharkan jika BN menang, jawatan Ketua Menteri dipilih berdasarkan parti yang majoriti. Mungkin pengishtiharan ini boleh menghakis lagi sokongan kaum cina kepada BN, tetapi pada hari ini sememangnya sokongan kaum Cina kepada BN telah terhakis.


ALNORULHADI BIN AB HAMID
Kota Bharu