Pages

Sunday, March 4, 2012

CADANG MANSUH CAJ 1% PINJAMAN PTPTN, HADIAH BUAT RAKYAT

CADANG MANSUH CAJ 1% PINJAMAN PTPTN, HADIAH BUAT RAKYAT

Lembaran tahun 2012 dibuka dengan pelbagai insentif kerajaan kepada rakyat dan yang paling popular buat masa sekarang ialah skim bantuan rakyat BR1M. Paling terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri diskaun 50% tol Lebuhraya Cheras - Kajang. Ini boleh diibaratkan hadiah buat rakyat terutama bagi pengguna lebuhraya berkenaan. Tetapi apa yang lebih besar dan sentiasa menjadi isu ialah caj 1% terhadap peminjam PTPTN. Umum mengetahui bahawa caj 1% ialah caj pengurusan oleh pihak pemberi pinjaman (KWSP) terhadap kerajaan. Untuk rekod, kerajaan telah mengurangkan caj ini daripada 4% kepada 1%. Tetapi amat wajar jika kerajaan terutama YAB Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan terus caj 1% kepada kesemua peminjam PTPTN sebagai hadiah buat rakyat. Manakala bagi peminjam PTPTN yang telah mendapat pekerjaan, tunaikan kewajipan dengan membayar balik pinjaman. Saya percaya tindakan pemansuhan caj 1% amat realistik dan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan, tanpa menunggu selepas PRU-13, supaya rakyat bertambah yakin kerajaan boleh melaksanakan sesuatu janji tanpa mereka-reka pelbagai manifesto pilihanraya. Jika pengumuman ini dibuat sebelum pru-13, sokongan kepada kerajaan makin bertambah dan kuat terutama daripada golongan muda atau lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana majoriti mereka ini meminjam dengan PTPTN. Biarlah kerajaan dituduh memancing undi asalkan peminjam mendapat manfaat atas keprihatinan kerajaan. Disini, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak PTPTN agar diberi sedikit "diskaun" kepada pelajar di peringkat ijazah pertama yang mendapat kepujian kelas kedua (atas) iaitu CGPA 3.0 ke atas dalam pembayaran balik pinjaman mereka. Diskauan ini diberikan berdasarkan dua syarat:
1. Diskaun diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada pihak PTPTN.
2. Diskauan diluluskan bagi peminjam yang telah mula membuat pembayaran balik peminjam mereka. Bagi peminjam tegar dan degil yang tidak membayar balik pinjaman mereka walaupun telah mendapat pekerjaan tetap, sewajarnya tiada diskaun diberikan kepada mereka.
Saya percaya nilai berapa peratus diskaun tidak penting, apa yang lebih penting ialah keprihatinan dan kemampuan kerajaan dalam melaksanakannya. Kita mahu rakyat juga realistik dalam hal ini. Jika cadangan diskauan ini dilaksanakan ia akan memberi motivasi secara tidak langsung kepada pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka. Cadangan diskauan di peringkat ijazah pertama dipilih kerana akan membolehkan secara tidak langsung pelajar lepasan diploma berminat untuk menyambung pelajaran mereka dan mendapat keputusan yang cemerlang. Jadi apa yang lebih penting sekarang dan dalam jangkamasa terdekat, kerajaan bersedia untuk mengumumkan pemansuhan caj 1% ini. Bayangkan jika pelajar meminjam pinjaman PTPTN di peringkat diploma dan ijazah, pelajar ini terpaksa membayar dua kali caj 1% ketika membayar balik pinjaman mereka nanti. Sudah pasti pengumuman pemansuhan caj 1% ini akan disambut dengan kegembiraan oleh peminjam dan sewajarnya peminjam berterima kasih kepada kerajaan dengan membayar balik pinjaman mereka.

ALNORULHADI BIN AB HAMID
Kota Bharu