Pages

Monday, June 9, 2008

Pengurangan subsidi minyak perlu berperingkat bagi mengurangkan kesan inflasi

artikel ini boleh dibaca di mstar online sila klik di bawah:
pengurangan subsidi minyak perlu berperingkat bagi mengurangkan kesan inflasi
artikel penuh:

Pada 4 Jun, Rabu yang lepas, kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 40% iaitu petrol RM0.78 (RM 2.70 seliter) dan diesel RM1 (RM2.58 seliter). Untuk rekod, kenaikan pada kali ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara ekoran harga minyak di pasaran dunia yang terus melonjak ke paras USD 130 setong. Sudah tentu perbelanjaan kerajaan akan meningkat melalui pemberian subsidi apabila harga minyak terus naik. Jadi memang wajar kerajaan mula bertindak dengan cadangan penstrukturan semula subsidi minyak. Persoalannya adakah bijak langkah kerajaan menaikkan harga minyak secara sekaligus dengan kadar yang tinggi dan mahu diselaraskan atau dikaji harga sebulan sekali seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Bukankah tindakan ini akan menyebabkan rakyat semakin merana jika harga minyak dunia terus naik dan kerajaan menaikkan harga minyak setiap bulan. Kebanyakan rakyat berpendapat kenaikan minyak pada kali ini terlalu perit dan membebankan disebabkan cara kenaikan yang diumumkan terlalu cepat dan mendadak. Rata-rata orang ramai bersedia kenaikan berlaku pada bulan Ogos seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini. Selain itu tempoh pengumuman dan kenaikan terlalu cepat sehinggakan berlaku situasi panik dan tidak terkawal di semua stesen minyak seluruh negara. Diharapkan kerajaan mengambil kira situasi ini dan tidak mengulanginya iaitu dengan memberi signal lebih awal akan berlaku kenaikan harga minyak dan dilakukan secara berperingkat. Dengan cara ini, rakyat lebih bersedia dan boleh membuat persiapan. Pada hari ini, secara realitinya berlaku kenaikan harga barangan pengguna, perkhidmatan dan barangan mewah ekoran kenaikan harga minyak. Secara automatiknya kos sara hidup akan meningkat. Para peniaga dengan mudah menaikkan harga jualannya dengan alasan harga minyak naik terlalu tinggi bagi menampung kos operasi mereka. Persoalannya adakah kerajaan boleh mengawal keadaan yang sedang berlaku ini. Adakah kakitangan pihak Kementerian Perdagangan & Hal Ehwal Pengguna boleh memantau di semua premis perniagaan di seluruh negara. Adakah pihak LPKP boleh membatalkan permit jika kesemua pengusaha bas mengambil keputusan menaikkan harga tambang. Jadi siapakah yang menjadi mangsa sebenarnya. Sebelum pilihanraya ke-12 baru-baru ini, ada bayangan harga minyak akan naik antara RM0.30 hingga RM0.50. Saya percaya jika kerajaan menaikkan harga minyak antara RM0.30 sehingga RM0.50 secara berperingkat kesannya tidaklah sehebat yang sedang berlaku hari ini.
Memang tidak dinafikan kebanyakan negara di dunia telah menaikkan harga minyak dan harga minyak negara kita masih murah jika dibandingkan dengan negara-negara bukan pengeluar minyak seperti Singapura, United Kingdom dan Amerika. Sebagai contoh di UK harganya RM7 seliter dan di Amerika RM5 seliter. Tetapi kita perlu sedar pendapatan per kapita rakyat kita lebih rendah lebih kurang 1/3 daripada mereka. Jadi kesan kenaikan lebih dirasai bagi mereka yang berpendapatan rendah. Saya bersetuju memang tidak adil harga minyak kita dibandingkan dengan negara pengeluar minyak yang lain walaupun negara kita juga pengeluar minyak. Penggunaan wang petronas semata-mata untuk tujuan subsidi minyak juga tidak bijak kerana kita perlu gunakan untuk tujuan pembangunan negara. Tetapi kerajaan tidak boleh menggunakan alasan tersebut sama-mata mahu mengurangkan subsidi secara mendadak. Malaysia mengeluarkan 650,000 tong minyak sehari. Penggunaan dalam negara 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong dieksport. Hari ini harga USD 130 setong, maka keuntungan eksport minyak kita akan meningkat. Negara kita juga mempunyai pelbagai hasil seperti minyak sawit, getah dan timah dimana harga komuditi ini juga telah meningkat di pasaran dunia. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga adalah tinggi. Jadi cukai yang dibayar mereka kepada kerajaan juga tinggi. Jadi jika subsidi minyak dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat iannya tidak akan mengekang kewangan kerajaan. Selain itu, kesan inflasi dan kenaikan harga barangan perkhidmatan juga tidak mendadak disamping sektor pelancongan domestik juga akan terus berkembang dan hasil pengaliran wang dalam bentuk cukai perkhidmatan dan kerajaan ke atas hotel-hotel dan restoran juga meningkat. Pada hari ini, saya khuatir sektor pelancongan domestik kita akan berkurangan dan mungkin sesetengah destinasi pelancongan akan lengang dan sunyi ekoran kenaikan harga minyak. Ini kerana, pengguna telah mula memikirkan langkah-langkah penjimatan dan tidak mahu berlaku pembaziran. Mungkin kebanyakan keluarga akan menghabiskan cuti hujung minggu dan am di rumah. Cuba bayangkan destinasi pelancongan seperti pulau peranginan, sudah pasti berlaku kenaikan tambang bot, feri dan lain-lain. Jadi tidak mustahil ada pengusaha chalet, rumah tumpangan akan gulung tikar jika pelancong domestik berkurangan. Langkah penjimatan dan mengelakkan pembaziran wajar dilakukan bersama antara rakyat dan kerajaan bagi menghadapi situasi sekarang. Langkah kerajaan menghentikan projek-projek mega yang kurang penting disokong. Tetapi projek yang menguntungkan rakyat wajar diteruskan. Cuma timbul persoalan, adakah wajar langkah kerajaan baru-baru ini membayar ex-gratia kepada 6 bekas hakim yang telah dipecat 20 tahun lalu tanpa mengumumkan berapa jumlahnya. Sedangkan kerajaan belum membuktikan kepada rakyat pemecatan 6 bekas hakim itu tidak sah dari segi undang-undang dan perlembagaan. Sebabnya ini duit rakyat yang boleh digunakan untuk meringankan beban rakyat. Selain itu, langkah pemberian rebet tunai iaitu sebanyak RM625 bagi kereta dan RM150 bagi motosikal seharusnya digunakan untuk menurunkan sedikit kenaikan harga minyak. Saya percaya, ramai pengguna bersetuju jika rebet tunai ini ditarik balik dengan tujuan untuk menurunkan harga minyak. Begitu juga subsidi untuk makanan berjumlah bilion ringgit akan menjadi kurang berkesan sebabnya apabila harga minyak naik dengan kadar yang tinggi maka harga barangan makanan juga akan meningkat. Jadi kita tidak mahu lagi mendengar berbillion peruntukan diumumkan oleh kerajaan bagi meringankan beban rakyat, tetapi kesannya kepada rakyat tidak seperti yang diumumkan. Saya berharap kerajaan akan mengkaji semula kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini dan membuat semakan supaya harga minyak boleh diturunkan sedikit. Selain itu, diharapkan kerajaan tidak menaikkan lagi harga minyak buat masa terdekat kerana trauma kesan kenaikan baru-baru ini begitu ketara dirasai.

No comments: